Isnin, 28 September 2009

Adab dan Akhlak

                                      Bab 1 : Adab Niat




1. Niat memiliki peranan yang amat penting di dalam segala kegiatan dan amalan agama kerana nilaian Allah Ta'ala terhadap semua amal perbuatan itu bergantung pada niatnya.


2. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud :


" Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar ".


3. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :


" Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang diniatkan ".


4. Maka niat yang baik itu adalah dianggap sebagai satu amal soleh dan memperolehi pahala serta ganjaran daripada Allah s.w.t.


5. Sesiapa yang berniat dengan niat yang baik, maka dia akan mendapat pahala dan ganjaran yang baik, manakala sesiapa yang berniat buruk maka dia akan diberi balasan dosa dan balasan yang setimpal dengan dosanya.


6. Kaum muslimin mengakui niat itu sebagai rukun dan syarat dalam semua amalan dan bukan hanya diucapkan atau dilafazkan oleh lidah sahaja .




Bab 2: Adab Kepada Allah



1. Anugerah dan rahmat yang diberikan oleh Allah Ta'ala kepada manusia tidak terhitung banyaknya iaitu semenjak manusia diciptakan daripada nutfah (setitis air mani) di dalam rahim ibunya sehingga dia kembali menghadap Allah s.w.t.


2. Manusia hendaklah mensyukuri segala rahmat dan nikmat Allah s.w.t dengan melakukan segala suruhan dan perintahnya dan menjauhi segala tegahan dan larangannya serta selalu memujiNya sama ada dengan kata-kata atau amal perbuatan serta memanfaatkan segala yang dianugerahkan hanya untuk beribadah kepadaNya.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :


"Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya"

( Surah Ibrahim - Ayat 34 )


3. Cara ini merupakan adab kepada Allah s.w.t. sebagaimana Firman Allah s.w.t yang bermaksud :


"Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah (datangnya)......."

( Surah An- Nahl - Ayat 53 )


4. Kaum muslimin meyakini bahawa Allah s.w.t Maha Mengetahui di atas segala-galanya dan sentiasa memperhatikan setiap tingkah laku manusia sehingga hati mereka sentiasa takut kepada Allah dengan mengingatiNya serta mengagungkanNya.


5. Mereka merasa malu berbuat perkara mungkar dan maksiat kepada Allah s.w.t. untuk melanggar apa-apa tegahan dan laranganNya. Sebagaimana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

( Surah Al-Baqarah - Ayat 152 )


6. Kaum Muslimin mengetahui dan melihat bahawa Allah s.w.t. menguasai diri setiap manusia yang sentiasa menyerahkan diri kepadaNya serta bertawakal kepadaNya . Firman Allah s.w.t yang bermaksud :


" .... Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal , jika kamu benar-benar orang yang beriman ".

( Surah Al - Maidah - Ayat 23 )


7. Kaum Muslimin mencari akan rahmat dan kasih sayang Allah dengan merendahkan diri dan sentiasa berdoa mencari keredhaanNya dengan ucapan dan amalan yang soleh.


Sebagaimana firman Allah yang bermaksud : " ..... dan rahmatKu meliputi segala sesuatu...." .

( Surah Al-A'raf - Ayat 156 )


8. Setiap amalan yang soleh dan dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketaatan yang bersungguh-sungguh akan dibalas dengan pahala yang berlipatganda serta dijanjikan syurga yang kekal selama-lamanya .


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :


" Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya , maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan ".

( Surah An-Nur - Ayat 52 )


9. Kaum Muslimin yang sentiasa memelihara adab dengan Allah akan mendapat kedudukan yang mulia dan darjat yang tinggi serta mendapat rahmat dan nikmat di sisi Allah s.w.t.

Bab 3: Adab Kepada Al-Quran


1. Kaum Muslimin beriktiqad bahawa kemuliaan dan kesucian serta keutamaan ayat-ayat Allah s.w.t. iaitu Kitab Al-Qur'an adalah keunggulan yang tertinggi.

2. Al-Qur'an adalah sebesar-besar mukjizat kurniaan Allah s.w.t. yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman.

3. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :-
" Bacalah olehmu Al- Qur'an kerana ia akan datang pada hari qiamat memberi pertolongan kepada yang membacanya" (Riwayat Muslim)

4. Insan yang berpegang teguh dengan Al- Qur'an kerana ia akan mendapat keselamatan dan kesejateraan di dunia dan di akhirat.

5. Di dalam hadith- hadith Rasulullah s.a.w. memberi keutamaan akan keagungan, kesucian dan kemuliaan Al- Qur'an di dalam memperkukuhkan keimanan kaum muslimin. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Sebaik -baik kamu adalah yang belajar Al- Qur'an dan mengajarkannya" (Riwayat Bukhari) " Ahli Al- Quran adalah keluarga Allah dan orang pilihannya" (Riwayat An- Nasa'i)

6. Adab - adab di dalam membaca Al- Qur'an ialah :-

i) Berwudhuk
ii) Dibaca di dalam sucu daripada hadas
iii) Dibaca di dalam keadaan mengadap kiblat
iv) Dibaca dengan tartil dan tidak terlalu cepat
v) Dibaca dengan khusyuk, tadabbur (mengamat -amati) dan menghayati dengan bersungguh-sungguh.
vi) Di baca dengan memperelokkan suaranya. Sabda Rasullullah s.a.w. yang bermaksud :-

" Hiasilah olehmu Al- Qur'an dengan suaramu " (Riwayat Ahmad)


Bab 4: Adab Terhadap Rasulullah s.a.w




 
i) Allah telah mewajibkan setiap mukmin untuk hormat terhadap Nabi Muhammad S.A.W seperti yang ditegaskan dalam firman Allah :


“ Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya.....”

( Al-Hujurat 49:1 )
ii) Sesungguhnya Allah mewajibkan orang yang beriman untuk taat dan cinta kepada Rasullullah seperti di dalam firmannya :


“ Wahai orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul...”

( Muhammad 47:33)


iii) Allah menjadikan Rasullullah sebagai pemimpin dan hakim seperti dalam firmannya :


“ Sesungguhnya kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.....”

( An-Nisa’ 4:105 )


iv) Allah telah menetapkan bahawa Rasullullah adalah manusia terbaik akhlak dan budi pekertinya. Beliau memiliki kesempurnaan diri dan jiwa sehingga beliau merupakan makhluk yang paling baik dan sempurna.


Beberapa cara beradab kepada Nabi Muhammad S.A.W antaranya :


• Hendaklah mentaati Nabi Muhammad S.A.W di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.


• Menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan dari seluruh makhluk Allah.


• Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad S.A.W apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, mengakui kebenarannya dan menghargai sifat-sifatnya.


• Membenarkan segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W samada soal agama dan dunia


• Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.


• Mencintai para salihin dan para pengikutnya kerana mereka mencintai Nabi Muhammad S.A.W serta memusuhi golongan fasiq kerana mereka membenci Nabi Muhammad S.A.W.


( Rujukan : Bimbingan Mukmin )




Bab 5: Adab Terhadap Diri Sendiri



Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :


“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”

( Asy-Syam [ 91] 9-10)


Rasullullah bersabda :


“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”


( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)


Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :


a. Taubat


Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:


“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”

(at-Tahrim[66] : 8)


Dan sabda Rasullullah :


“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali ”


( Muslim )


b. Muraqabah ( Pengawasan )
Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :


“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....”

( an-Nisa [4] : 125 )


Rasullullah juga bersabda :


” Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......”


(Muttafaq ’alaih)


c. Muhassabah


Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri


Allah berfirman :


“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ”

(al-Hasyr [59] : 18)


d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)


Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.


Allah telah berfirman :


“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....”

(Yusuf [12] : 53 )


Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih. Allah berfirman :


“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(al-Ankabut : 69)


Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.











Akhlak Anbia'

ORANG SALIH MENGHIASI DIRI DENGAN AKHLAK ANBIA'


UMUMNYA setiap individu mempunyai tanggungjawab memperbaiki (islah) diri dan keluarga masing-masing. Apabila setiap individu itu berada di landasan iman dan sentiasa memelihara nilai baik, maka seluruh masyarakat akan menjadi baik, insya-Allah.
Sebenarnya konsep pembinaan masyarakat bertamadun, bergantung kepada buruk atau baik akhlak setiap individunya.
Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan kepada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” – (Al-Anfal 53).
Ayat itu jelas menunjukkan Allah hanya mahukan hamba-Nya berada dalam keadaan kedamaian, kebaikan dan kemuliaan. Allah tidak menghukum hambanya tanpa ada sebab daripada diri mereka sendiri. Rosaknya masyarakat adalah kerana rosak moral pemimpinnya.
Sabda Rasulullah: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Raja (ketua negara) adalah pemimpin dan ia bertanggunjawab terhadap rakyatnya. Orang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Wanita juga adalah pemimpin di rumah suaminya. Dia bertanggungjawab terhadap pimpinannya
“Hamba juga adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab ke atas harta benda tuannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan masing-masing bertanggungjawab terhadap pimpinannya. – (Syaikhan).
Daripada hadis ini, nyata setiap orang itu mempunyai komitmen dalam membaiki (islah) orang yang dibawah jagaannya. Tanggungjawab itu terpikul di atas bahu setiap orang walau di peringkat mana mereka berada. Raja terhadap rakyatnya, pemimpin terhadap orang yang dipimpin, guru terhadap murid, majikan terhadap pekerja, bapa dan ibu terhadap anak-anak dan seterusnya.
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud; “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di muka bumi, sebagaimana ia menjadikan orang yang sebelum mereka, khalifah yang berkuasa, dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang diredai-Nya.
“Dan ia juga menggantikan bagi mereka keamanan selepas mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak menyengutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan ingatlah sesiapa yang kufur sesudah itu, merekalah orang yang fasik. – (An Nur, 55).
Jelas daripada ayat itu setiap orang adalah khalifah (pemimpin) di muka bumi ini. Ini diperkukuh pula dengan asal kejadian manusia seperti firman-Nya yang bermaksud; “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi (manusia daripada keturunan Adam).” – (Al Baqarah, 30).
Dari apa yang dapat dinyatakan di dalam al-Quran dan apa yang berlaku sehari-hari, rosaknya masyarakat disebabkan rosaknya akhlak pemimpin. Rosaknya remaja adalah kerana rosaknya akhlak orang tua.
Ini dijelaskan oleh al-Quran dalam firman Allah bermaksud; “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap negeri orang besar (pemimpin) yang jahat dan mereka melakukan penipuan di dalamnya, pada hal tiada mereka memperdayakan melainkan diri sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” – (Al-An-am, 123). Di dalam keluarga, misalnya akhlak orang yang lebih tua sangat mempengaruhi mereka yang masih muda. Pepatah Melayu menyebutkan bapa borek anaknya rintik.
Antara akhlak jelek orang tua ialah penyelewengan kuasa dan rasuah. Jika akhlak jelek ini berleluasa dan berterusan maka masyarakat akan hancur. Perundangan, peraturan dan disiplin tidak akan dapat ditegakkan lagi.
Tepat seperti yang digambarkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan orang yang melampau itu supaya taat, lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. – (Al-Israk, 16).
Maka amat teranglah orang yang mampu memperbaiki masyarakat adalah orang yang berakhlak mulia. Orang yang fasik dan rosak akhlaknya tidak akan berusaha memperbaiki orang lain. Malah bumi ini pun adalah untuk orang yang baik.
Firman Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi hamba-Ku yang salih. - (Al-Anbiya, 105).
Dari ayat ini dapat diambil satu kaedah landasan pembinaan generasi adalah berasaskan kualiti manusia yang memimpin. Landasannya adalah ilmu (intelektual) akal, ruhani serta akhlak yang mulia.
Antara ciri orang yang salih ialah beriman teguh kepada Allah dan rasul-Nya. Menghiasi diri dengan akhlak anbiya. Berkorban untuk menegakkan syariat. Mendorong amar makruf. Berusaha mencegah dan menegah kemungkaran. Berlaku adil dan membantu kalangan yang memerlukan.

Inilah ciri mereka yang diberi kepercayaan untuk membina dan memperbaiki generasi ummah yang diredai.

Akhlak Rasulullah

Akhlak Rasulullah


Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.


Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.


Sayidatina 'Aisyah menceritakan "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang."


Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?" (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan')


'Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."


Rasulullah lantas berkata, "Jika begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur, "Mengapa engkau memukul isterimu?"


Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, "Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia."


"Aku tidak bertanya alasanmu," sahut Nabi s.a.w. "Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?"


Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya."


Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.


Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.


Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, "Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?"


"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar."


"Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.


Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.


"Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?"


Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?"


"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak."


Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.


Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita... adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran


sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa, hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka-mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah.


Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya. Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan.


Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"


Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur

Khamis, 3 September 2009

Akhlak Mulia

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah terdapat seorang pengemis Yahudi yang buta, hari demihari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata "Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya". Namun setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang Rasulullah SAW wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku (Muhammad) yang belum aku kerjakan?".
Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai Ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja". "Apakah Itu?", tanya Abu Bakar r.a. "Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha. Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, "siapakah kamu?".
Abu Bakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa". "Bukan!, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu, "Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah.

Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku dengan lembut", pengemis itu melanjutkan perkataannya. Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW."Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. Ia pun ikut menangis, kemudian berkata, "Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya,memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia..." Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abu Bakar r.a.

Rabu, 2 September 2009

Pesanan Hawa kepada Adam

Wahai lelaki…
Janganlah ego dan hipokrit, semua lelaki perlukan wanita. Tanpa wanita, hati, perasaan dan fikiran akan musnah. Mereka masih mencari walaupun segalanya, apa yang tidak ada di Syurga hingga Adam tetap rindukan Hawa ??.
Pada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri ataupun puteri. Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kaum lelaki sendiri yang tidak lurus, mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.
Wahai lelaki…, luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjukkan oleh Allah kepadamu. Janganlah didik mereka dengan harta kerana nantinya mereka semakin liar. Janganlah menghiburkan mereka dengan kecantikan kerana nantinya mereka semakin menderita.
Yang sementara itu tidak dapat menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah S.W.T Zat yang kekal, kerana disitu punca bagi kekuatan dunia.
Akal wanita setipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu. Hatinya pula serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman. Hiasilah ia dengan akhlak yang terpuji. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan. Ia bukan diskriminasi Tuhan sebaliknya kasih sayang Tuhan.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak mereka tidak akan lurus, bahkan mereka akan membengkok. Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Lelaki pula janganlah mengharapkan kekuatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Illahi, pimpinlah diri sendiri kepada Nya. Jinaklah segalanya dibawah pimpinanamu.

Dan…….
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra seandai keperibadian tidak sehebat Saidina Ali Karramallahu Wajhah…

Pesanan Adam kepada Hawa

Ku teruskan bicara buatmu, Hawa… Semoga kehadiran warkah ini tidak akan mengocak kedamaian dan ketenagan hatimu…
HAWA…
Sekali lagi kesedihan menyelubungi hati in, Hawa… ke mana hilangnya sopan santun dan rasa hormatmu terhadapku? Kalau dulu, untuk mengucapkan sebaris kata di hadapanku sekalipun, kau hanya menundukkan pandanganmu dan menyusun kata sebaik-baiknya dan seatur mungkin. Namun hari ini, suatu kebiasaan jika kuperhatikan malumu kian lenyap! Antara kita seolah-olah tiada lagi hijab yang menghalang dan kau bias menyapaku tanpa segan silu… Malu itu selayaknya kau punyai, tapi apa yang terjadi kini???
HAWA…
Apa yang membimbangkanku, keadaan ini biasa menjadikan kita makin hampir mengetepikan tuntutan perintah Allah. Pergaulan yang kukira tidak wajar antara muslimin dan muslimat menenggelamkan ku dalam kekalutan parasaan, terlalu bimbang kiranya suatu hari nanti menjadi kebiasaan jika dilihat kaumku bias seiringan tanpa ada batasnya lagi…
HAWA…
Mengapa tidak kau semaikan rasa malumu dalam hatimu??? Mengapa Hawa yang kukenal dulu tidak lagi selembut dulu??? Tidak seperti dulu??? Tutur kata yang petah, alunan suara yang lantang, mengheret aku dalam ke dalam kesedihan yang berpanjangan… kau bias ku samakan dengan teman-temanku yang lain dan… jika keadaan ini berterusan, suatu hari nanti, Hawa akan menguasai dunia dan Adam hanyalah penyeri saja…dulu, ku sanjung tinggi peradabanmu yang kiranya dibandingkan dengan kaummu diluar sana. Tapi kini, kepercayaanku kian luntur tatkala melihat batas-batasmu kian memudar, dan sedarlah Hawa, dirimu adalah wanita yang menyimpan setinggi-tinggi maruah.. lantaran itu, usah terlalu ghairah denganku, kau Adam dan kita mempunyai benteng yang teguh… janganlah dirobohkan…
HAWA…
Fahamilah… ku tak ingin kau terlalu menonjol diri, kerana bagiku Hawa adalah sebutir mutiara yang terlalu mahal harganya. Terus terang kukatakan duhai Hawa, bukan kemarahanmu kupinta, bukan sapaanmu yang menggembirakan diriku, tapi mengertilah Hawa, ku mahu kau pelihara kesopananmu dan maruahmu jangan kau perdagangkan.
HAWA…
Jika bersua muka, tundukka n pandanganmu. Perlahankan suaramu dan usahlah kau terlalu tampilkan dirimu meskipun naluri kita saling memerlukan. Ingatlah Hawa, batas-batas pergaulan di antara kita, itulah yang harus dijaga…
HAWA…
Peliharalah tingkah lakumu tak kira di mana-mana saja. Walaupun aku tidak mampu untuk terus menerus memimpin dirimu seandainya kau tersilap langkah tapi dengarlah Hawa, aku mahu kau sedar!! Sedar yang dirimu bisa terhumban di persada kehancuran jikalau dikau membiarkan dirimu hanyut dengan pergaulan bebas di kala ini. Kaumku, Adam tidak ingin dunia ini dimamah laknat Allah lantaran dosa yang kita titipkan…
HAWA…
Ketahuilah duhai Hawa… aku amat merindui dirimu yang dulu…

Renungan

Orang yang berbahagia itu adalah orang yang dapat menguasai hatinya sendiri, sebab orang yang dapat memerintah hatinya sendiri, lebih besar faedahnya daripada orang yang dapat menakluki sebuah negeri. -HUKAMAK-